Sabtu,19 April 2014

Peluang saksi pameran lukisan kontemporari

Kuala Lumpur: Penggemar lukisan kontemporari di seluruh negara berpeluang menyaksikan pameran karya penggiat seni tempatan sempena Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia (1MCAT) yang bermula hari ini hingga 30 September ini.

Pengunjung Bukit Bintang boleh beli-belah sambil menikmati karya di pameran seni di Publika, Pavilion, Starhill Gallery, Farenheit88, Sungai Wang Plaza serta Galeri Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Pasar Seni. Selain itu, negeri yang terbabit dalam pesta 1MCAT adalah Pulau Pinang, Pahang, Kelantan, Melaka, Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak yang pamerannya lebih kepada budaya tradisi masyarakat tempatan.


Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pesta anjuran tahun keempat itu adalah produk terbaru industri pelancongan negara yang bertujuan menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

“Pelancong bukan saja menikmati pemandangan persekitaran indah, makanan dan membeli-belah di negara ini, tetapi mereka juga boleh mengumpul dan melabur dalam hasil karya tempatan,” katanya di Majlis Pelancaran 1MCAT, di sini, semalam.


Katanya, pesta itu sebagai penghargaan kepada penggiat seni tempatan di atas bakat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09
`