Rabu,03 September 2014

Ambil iktibar kisah kaum terdahulu

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Al-Quran yang mengandungi 6,666 ayat menerangkan pelbagai nasihat, panduan dan larangan kepada manusia termasuk kisah umat dahulu yang ditimpa azab sengsara akibat derhaka kepada Allah.

Kisah umat yang ingkar kepada Allah dengan melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi sebagaimana direkodkan al-Quran bukan sekadar untuk kita membaca dan mengetahuinya sahaja, bahkan lebih mustahak ialah untuk dijadikan pengajaran.

Firman-Nya dalam surah an-Nahl, ayat 36 bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang rasul: Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.


“Maka di antara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula yang ditimpa kesesatan. Maka mengembaralah kamu di bumi, lalu lihatlah bagaimana buruknya akibat orang yang berdusta.”


Di sini jelas kepada kita, rakaman kisah umat dahulu bukan sekadar catatan biasa, tetapi ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan penelitian bagi mengambil pengajarannya.

Memang benar apa yang dicatatkan al-Quran kerana ramai ilmuwan sains sosial seperti pakar sejarah, antropologi dan arkeologi menemui banyak bukti kukuh terhadap apa yang diceritakan Allah.

Contohnya kaum Aad, iaitu kaum Nabi Hud ditimpakan musibah besar disebabkan keangkuhan tidak mahu mendengar dan menyahut seruan nabi mereka agar beriman kepada Allah dan menjalani kehidupan mengikut syariat.

Namun, kaum itu degil, bahkan bongkak sehingga beranggapan segala pencapaian dalam hidup mereka adalah semata-mata kerana keupayaan dan kepandaian mereka.

Kisah ini dirakamkan dalam surah Hud, ayat 50 hingga 60, manakala berkenaan sifat keji kaum itu diterangkan pula pada ayat 123 hingga 140, surah as-Syuara.

Mereka digambarkan sebagai kaum yang bijak dalam seni reka bangunan. Hal ini dibukti melalui binaan bangunan di kawasan tinggi, dengan anggapan dapat membuatkan mereka kekal.

Namun, sangkaan mereka itu meleset. Kaum Aad dimusnahkan oleh Allah. “(Demikian juga) kaum Aad mendustakan rasulnya; maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azab-Ku dan kesan amaran-Ku!

“Sesungguhnya Kami menghantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang, pada hari nahas yang berlanjutan. Yang menumbangkan manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang pohon kurma yang terbongkar.” (Surah al-Qamar, ayat 18 hingga 20)

Justeru, dalam menjalani kehidupan di dunia ini kita jangan sampai leka dengan nikmat dunia kurniaan Allah. Kita perlu selalu waspada dan sentiasa memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga.

Ambillah pedoman daripada kisah kaum Aad itu. Jangan kerana kita diberikan rezeki melimpah ruah dan pelbagai rupa kemewahan sehingga jiwa kita menjadi tandus dengan iman dan semakin jauh daripada Allah.

Dalam dunia moden kini, kita sebenarnya berdepan budaya hidup songsang yang jelas bertentangan dengan kehendak agama.

Antaranya amalan seks sesama jantina atau istilahnya homoseksual dan lesbian. Semakin lama semakin ketara merebaknya, sedangkan Allah memberikan amaran keras dan gambaran nyata kemusnahan kaum Lut dan kemudian masyarakat bandar Pompei di Itali.

Nabi Lut hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim. Baginda diutuskan kepada kaum berkelakuan pelik yang belum pernah dilakukan sesiapa pun sebelum itu. Usaha baginda tanpa menghiraukan penat lelah dan halangan untuk menasihati kaumnya agar bertaubat.

Namun, semua itu tidak lekat dalam pemikiran kaumnya. Malah, baginda sendiri diancam dengan pelbagai bentuk ugutan.

Akhirnya Allah menurunkan bala bencana ke atas kaum yang derhaka itu. Hal ini ada diceritakan melalui surah al-Qamar, ayat 33 hingga 36: “Demikian juga kaum Nabi Lut mendustakan peringatan dan amaran rasulnya.

“Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang mengandungi batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka waktu jauh malam. Sebagai limpah kurnia daripada Kami. Demikianlah kami membalas orang yang bersyukur.

“Dan sesungguhnya! Nabi Lut memberi amaran kepada mereka mengenai azab seksa Kami; tetapi mereka tetap mendustakan amaran itu.”

Budaya songsang homoseksual diketahui sebagai salah satu penyebab kepada berlaku penyakit sukar diubati dan masih belum ditemui penawarnya, iaitu penyakit HIV dan AIDS. Sesungguhnya ini juga musibah yang perlu dihindari.

Rasulullah SAW pernah menjangkakan akan munculnya penyakit aneh seperti itu apabila manusia semakin mengabaikan peraturan hidup yang luhur sebagaimana dianjurkan agama.

Sabda baginda SAW, maksudnya: “Tidaklah muncul suatu perilaku keji pada suatu kaum hingga mereka melakukannya secara terang, melainkan akan merebak di antara mereka wabak penyakit dan pelbagai penyakit yang belum ada pada orang dahulu.” (Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, ambillah pengajaran daripada kisah dipaparkan oleh Allah menerusi al-Quran sebagai pedoman hidup. Hindari diri daripada mengikut jejak umat dahulu yang sudah terkena pelbagai musibah akibat melanggar perintah Allah.


Penulis adalah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04
`